Adakah anda seorang pesimis? Atau rakan anda seorang pesimis? Bagaimana untuk mengenali seorang yang bersikap pesimis? Artikel ini akan membantu anda mengenali sikap pesimis, kesan dan bagaimana untuk mengenali seorang yang pesimis.
Apa itu Sikap Pesimis?
Sikap pesimis bukanlah penyakit mental tetapi ia merupakan sifat-sifat peribadi yang mana seseorang itu mempunyai pandangan hidup yang negatif.
Seorang yang pesimis biasanya menjangkakan hasil yang tidak menguntungkan dan mencurigakan apabila keadaan kelihatan berjalan lancar.
Sikap pesimis bukanlah sifat yang ingin dimiliki atau disukai ramai. Ia berkait dengan kenegatifan, kemurungan atau gangguan emosi. Meskipun begitu, mempunyai sedikit pemikiran negatif tidak bermakna anda seorang yang teruk.
Menjadi seorang yang pesimis bermakna anda cenderung untuk melihat bahagian yang paling teruk atau berfikir bahawa yang paling buruk akan berlaku.
Orang yang pesimis adalah orang yang sering dilihat sebagai kurang harapan dan kegembiraan dan ditandakan dengan tidak boleh dipercayai.
Walau bagaimanapun, kadangkala sikap pesimis ini mungkin diperlukan bagi menghadapi sesuatu keadaan.
Ciri-ciri Seorang yang Pesimis
Bagaimanakah anda boleh mengetahui sama ada anda atau seseorang yang anda kenali mungkin seorang yang pesimis? Berikut adalah ciri-cirinya:
- Berasa terkejut apabila sesuatu benar-benar berjaya.
- Cenderung memberi tumpuan kepada perkara buruk yang boleh berlaku dalam sesuatu situasi.
- Tidak mengejar apa yang anda mahu kerana anda fikir anda mungkin akan gagal.
- Berfikir bahawa risiko hampir selalu melebihi faedah.
- Cenderung untuk menumpukan pada kekurangan atau kelemahan anda dan bukannya kekuatan anda.
- Alami sindrom penipu dan kurang menghargai kebolehan anda.
- Sering merasa jengkel oleh orang yang mempunyai sikap optimistik.
- Sering terlibat dalam bicara diri (self-talk) yang negatif.
- Menganggap bahawa semua perkara yang baik akhirnya akan berakhir.
- Mendapati lebih mudah untuk hidup dengan status quo daripada mengubah keadaan menjadi lebih baik.
Punca yang Menyebabkan Seseorang Menjadi Pesimis
Terdapat banyak sebab atau punca yang boleh menyebabkan seseorang mempunyai personaliti pesimistik.
Antaranya adalah:
- Keturunan atau genetik.
- Dinamik keluarga – kuasa atau daya moral ahli keluarga yang mengakibatkan perubahan keluarga.
- Pengalaman lepas seperti trauma atau penyakit.
- Faktor sosial dan persekitaran seperti kehilangan kerja, putus cinta dan lain-lain.
Kesan Sikap Pesimis
Mereka yang bersikap pesimis cenderung mempunyai kurang sokongan sosial, daya tahan yang lebih rendah, keupayaan yang berkurangan untuk menghadapi tekanan dan kecenderungan yang lebih besar untuk mengalami kemurungan dan keresahan.
Mempunyai kecenderungan ke arah pesimisme juga boleh memberi kesan kepada pandangan anda terhadap kehidupan.
Malah terdapat kajian yang dijalankan di New York mendapati personaliti pesimis adalah antara sifat yang berkaitan dengan peningkatan kadar kematian bagi lelaki dan wanita. [1]
Kajian terkini di Australia juga turut mendapati bahawa sifat personaliti pesimis mempunyai perkaitan dengan kematian disebabkan penyakit kardiovaskular atau sebab-sebab lain. [2]
Kajian-kajian ini menunjukkan bahawa adalah kurang pesimis adalah penting untuk kesihatan yang baik.
Kebaikan Sikap Pesimis
Sikap pesimis tidak semuanya buruk atau negatif kerana terdapat beberapa faedah kepada tahap pesimisme yang sihat.
Seorang yang pesimis selalunya lebih bersedia untuk masa sukar dan mungkin mengelakkan risiko yang mungkin diabaikan oleh pemikir yang lebih optimistik.
Penyelidikan telah menunjukkan bahawa orang yang pesimis cenderung untuk meramalkan halangan dengan lebih mudah kerana mereka menjangkakan perkara yang tidak kena, bermakna mereka lebih cenderung merancang untuk menghadapi kesukaran.
Contohnya, satu kajian oleh penyelidik dari Universiti Utah mendedahkan bahawa pemikir negatif lebih cenderung untuk membina jaringan keselamatan. [3]
Mereka juga lebih bersedia secara praktikal dan emosi apabila berlaku masalah.
Risiko Sikap Pesimis
Meskipun begitu, sikap pesimis juga mempunyai beberapa kelemahan. Antara kelemahan utama akibat menjadi seorang yang terlebih pesimistik adalah:
- Pesisisme menyumbang kepada kesihatan yang negatif: Pandangan negatif dikaitkan dengan beberapa risiko kesihatan seperti penyakit jantung dan kematian secara keseluruhan. [1, 2]
- Berfikiran negatif adalah tidak baik untuk kesejahteraan: Seorang yang bersikap pesimis berisiko tinggi untuk mengalami kemurungan dan keresahan. Malah, ia juga turut merendahkan kualiti hidup terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan. [4]
- Pesimis cenderung mempunyai tekanan yang lebih besar dan kurang kemahiran mengatasi masalah: Satu kajian menunjukkan bahawa bagi orang yang lebih tua, pesimisme dikaitkan dengan tahap tekanan yang lebih tinggi, lebih fokus pada bahagian yang kurang positif dalam kehidupan dan kecenderungan yang lebih besar untuk melihat kembali kehidupan dengan lebih negatif secara umum seterusnya mengurangkan kepuasan hidup. [5]
Rujukan
- Grossardt, B. R. et al. (2009). Pessimistic, anxious, and depressive personality traits predict all-cause mortality: the Mayo Clinic cohort study of personality and aging. Psychosomatic medicine.
- Whitfield, J. B. et al. (2020). Pessimism is associated with greater all-cause and cardiovascular mortality, but optimism is not protective. Scientific reports.
- Smith, T. W. et al. (2013). Optimism and Pessimism in Social Context: An Interpersonal Perspective on Resilience and Risk. Journal of research in personality.
- Zenger, M. et al. (2011). Pessimism predicts anxiety, depression and quality of life in female cancer patients. Japanese journal of clinical oncology.
- Puig-Perez, S. et al. (2018). Being an optimist or a pessimist and its relationship with morning cortisol release and past life review in healthy older people. Psychology & health.