Trauma mungkin menjejaskan kehidupan anda. Tetapi, ia bukanlah noktah, Sebaliknya, terdapat terapi yang boleh merawat trauma yang anda alami. Sudah tentu setiap daripada kita inginkan yang terbaik. Termasuklah terapi yang terbaik untuk trauma yang dialami.
Pengalaman traumatik boleh meninggalkan kesan mendalam pada badan dan minda. Kesannya mungkin muncul serta-merta atau bertahun-tahun kemudian, ia mungkin menjejaskan mood, perhubungan, dan juga perasaan diri anda.
Tetapi terdapat rawatan yang berkesan untuk membantu anda sembuh daripada trauma.
Satu perkara yang harus difahami ialah tiada satu rawatan yang terbaik untuk semua. Terapi yang terbaik adalah terapi yang berkesan untuk anda.
Mencari terapi yang betul boleh mengambil sedikit masa, tetapi terdapat banyak sokongan yang boleh anda perolehi sepanjang proses tersebut.
Bagaimana Terapi boleh Merawat Trauma?
Terapi boleh membantu anda menyepadukan peristiwa traumatik dan memahaminya seterusnya membantu anda memulakan proses penyembuhan.
Memori anda tentang trauma akan kekal, tetapi ia akan mula kurang berkuasa terhadap anda dan emosi anda.
Terapi juga membantu dalam menormalkan tindak balas anda terhadap trauma yang anda alami. Ia boleh memberikan anda kemahiran baharu untuk mengurus perasaan dan tindak balas anda.
Jenis-jenis Terapi untuk Trauma
Berikut adalah beberapa terapi terbaik untuk merawat trauma atau kecelaruan stres pascatrauma (PTSD):
1. Terapi Pemprosesan Kognitif (CPT)
Terapi pemprosesan kognitif atau cognitive processing therapy (CPT) dibangunkan oleh Patricia Resick, PhD, ABPP sebagai rawatan kepada PTSD.
Ia bertujuan untuk membantu orang yang berasa “terperangkap” dengan pemikiran mereka tentang trauma.
Terapi pemprosesan kognitif ialah sejenis terapi tingkah laku kognitif (CBT) khusus yang berkesan dalam mengurangkan gejala PTSD yang telah berkembang selepas mengalami pelbagai peristiwa traumatik termasuk penderaan kanak-kanak, peperangan, rogol dan bencana alam.
Dalam CPT, ahli terapi anda akan membantu anda belajar untuk mencabar dan mengubah kepercayaan yang tidak membantu tentang trauma yang membuatkan anda “terperangkap”.
Matlamatnya adalah untuk membantu anda memahami dan berfikir secara berbeza tentang peristiwa tersebut, dengan itu melegakan kesan negatif.
2. Terapi Pendedahan Berpanjangan (PE)
Terapi pendedahan berpanjangan atau prolonged exposure (PE) ialah rawatan tingkah laku untuk trauma dan PTSD yang melibatkan anda menghadapi sumber ketakutan anda untuk mengurangkan kebimbangan.
PE memerlukan anda beransur-ansur menghadapi dan memproses ingatan trauma dan situasi yang telah dielakkan kerana ketakutan.
Ini membantu anda menghadapi dan menguruskan ketakutan anda, mengurangkan keresahan yang berkaitan dengan trauma.
3. CBT Berfokuskan Trauma
Terapi terbaik untuk trauma yang seterusnya adalah CBT berfokuskan trauma.
CBT berfokuskan trauma ialah rawatan tingkah laku kognitif yang digunakan terutamanya untuk kanak-kanak dan remaja yang mengalami trauma.
Matlamat CBT berfokuskan trauma adalah untuk membantu kanak-kanak mengenali kepercayaan palsu (seperti siapa yang harus dipersalahkan kerana penderaan), membetulkan corak tingkah laku yang tidak sihat, dan membangunkan cara baharu untuk mengatasi seperti menenangkan diri dan meluahkan emosi mereka.
Ibu bapa atau penjaga juga terlibat dalam pendekatan ini.
4. Terapi Eye Movement Desensitization and Reprocessing (EMDR)
Eye Movement Desensitization and Reprocessing (EMDR) ialah terapi trauma yang dibangunkan oleh ahli psikologi Dr. Francine Shapiro pada tahun 1987.
EMDR melibatkan pergerakan mata yang dipandu semasa mengingati pengalaman traumatik. Teknik ini bertujuan untuk membantu memproses semula ingatan trauma, mengurangkan intensiti emosi dan impaknya terhadap kehidupan harian.
5. Terapi Somatik
Terapi somatik meneroka bagaimana badan menyatakan pengalaman yang sangat menyakitkan, menggunakan penyembuhan minda-badan untuk membantu pemulihan trauma.
Kajian tahun 2017 mendapati bahawa pengalaman somatik iaitu bercakap berkenaan trauma masa lalu sementara meneroka tindak balas dan sensasi fizikal badan adalah rawatan yang berkesan untuk PTSD.
6. Terapi Psikodinamik
Terapi psikodinamik juga adalah antara terapi terbaik untuk trauma.
Dalam terapi psikodinamik, ahli terapi akan membantu anda memahami bagaimana masa lalu anda telah mempengaruhi emosi, tingkah laku dan corak hubungan semasa anda.
Matlamatnya adalah untuk membantu anda memahami motif tidak sedar yang mendorong tingkah laku anda.
Ringkasan
Trauma atau pengalaman traumatik sudah pasti sedikit sebanyak akan menjejaskan kehidupan seseorang.
Meskipun bagitu, trauma boleh dirawat sekiranya anda mendapatkan terapi atau rawatan yang bersesuai untuk anda.
Terdapat banyak pilihan terapi terbaik untuk merawat trauma anda. Antaranya seperti terapi pemprosesan kognitif (CPT), terapi pendedahan berpanjangan (PE), terapi somatik dan lain-lain lagi.