Apakah perbezaan antara simpati dan empati? Walaupun bunyinya hampir sama tetapi kedua-dua perkataan ini membawa makna yang berbeza.
Kita sering terjumpa perkataan simpati dan empati apabila bercakap tentang perasaan kita.
Walaupun kedua-dua perkataan ini digunakan dalam situasi yang melibatkan emosi, ia tidak boleh digunakan secara silih berganti kerana ia mempunyai makna berbeza.
Apa itu Simpati?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, simpati bermaksud perasaan belas kasihan, timbang rasa dan sebagainya terhadap seseorang atau sesuatu, terutamanya apabila ditimpa kesusahan.
Secara ringkasnya, simpati bermaksud perasaan belas atau perasaan kasihan terhadap penderitaan orang lain.
Menurut kamus psikologi Persatuan Psikologi Amerika, simpati ialah perasaan prihatin atau belas kasihan akibat daripada kesedaran tentang penderitaan atau kesedihan orang lain. [1]
Apa itu Empati?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, empati pula bermaksud daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain.
Menurut kamus psikologi Persatuan Psikologi Amerika, memahami seseorang daripada kerangka rujukannya dan bukan miliknya sendiri, atau secara langsung mengalami perasaan, persepsi dan pemikiran orang itu. [2]
Perbezaan antara Simpati dan Empati
Perbezaan utama antara simpati dan empati ialah cara kita meluahkan dan mengalami emosi kita terhadap situasi seseorang.
Cara mudah untuk mengingati maksud simpati ialah ucapan takziah. Anda berasa sedih untuk seseorang yang sedang melalui masa yang sukar dan anda mengucapkan takziah kepadanya.
Dengan kata lain, anda tidak meletakkan diri anda dalam kedudukan mereka dan membayangkan diri anda bergelut dengan situasi mereka. Oleh itu, situasi ini sesuai dengan istilah simpati.
Manakala, apabila anda bersimpati dengan keadaan malang seseorang, anda berasa sedih untuk mereka. Anda mempunyai pemikiran dan perasaan tentang apa yang mereka alami tetapi anda tidak mempunyai pemahaman yang mendalam tentang perasaan mereka.
Berempati dengan keadaan seseorang bermakna kita meluangkan masa, usaha dan ruang mental untuk menghargai dan memahami sepenuhnya perasaan mereka.
Bila untuk Menunjukkan Simpati?
Pada zaman teknologi canggih dan media sosial ini, kita mudah untuk menerima berita-berita yang menyedihkan yang berlaku di seluruh dunia.
Dari situ, kita boleh menzahirkan rasa simpati dengan ucapan takziah atau kata-kata sokongan bagi mangsa.
Simpati membolehkan kita belajar dan terus mendapat maklumat tentang isu global tanpa menjejaskan emosi.
Bila untuk Menunjukkan Empati?
Empati adalah penting untuk membina hubungan yang mendalam dan bermakna dengan orang lain.
Jika anda tidak dapat memahami perspektif orang lain, mungkin sukar untuk berkomunikasi secara berkesan dan menyelesaikan masalah bersama-sama.
Anda boleh menunjukkan empati dengan mendengar tanpa menghakimi, mendengar dengan penuh perhatian, mendengar tanpa memberi nasihat, mendengar dengan memahami dan mendengar dengan berkongsi pengalaman yang sama.