Pernah atau tidak anda mendengar istilah trauma kompleks atau complex trauma?
Mungkin ada antara kita yang pernah melalui peristiwa trauma yang sukar untuk dilupakan. Sama ada perpisahan yang dahsyat atau kematian orang yang disayangi, ramai antara kita pernah merasakan kesedihan tersebut.
Tetapi bagi penghidap trauma kompleks, kenangan itu tidak hanya tinggal di masa lalu. Ia hidup pada masa sekarang juga, mengganggu penghidapnya secara berulang-ulang.
Apa itu Trauma Kompleks?
Trauma kompleks adalah istilah yang digunakan dalam bidang psikologi dan psikiatri untuk menggambarkan pengalaman trauma yang melibatkan rentetan peristiwa atau pengalaman yang berulang-ulang, berpanjangan, atau kronik.
Trauma jenis ini biasanya terjadi dalam konteks hubungan interpersonal penderaan fizikal atau emosi, pengabaian, penderaan seksual, keganasan keluarga, atau hidup dalam persekitaran yang kacau dan tidak stabil.
Trauma kompleks mula-mula diperkenalkan oleh Judith Lewis Herman (PhD) pada tahun 1990-an. Ia mempunyai banyak persamaan dengan gejala-gejala klasik kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) seperti:
- Berasa gementar atau resah
- Mengalami imbas kebelakang
- Mengelak keadaan yang mengingatkan anda tentang peristiwa traumatik
Tambahan daripada itu juga, trauma kompleks boleh:
- Mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri
- Menyebabkan anda sukar mengawal emosi diri
- Membuatkan perhubungan menjadi mencabar
Bagaimana Trauma Kompleks Terbentuk?
Secara klinikalnya, apabila anda mengalami peristiwa trauma, ia akan mengaktifkan sistem limbik di dalam otak.
“Penggera” ini mematikan semua sistem yang tidak penting seperti rehat, penghadaman atau tidur dan membanjiri badan anda dengan hormon tekanan (stres) seperti kortisol, supaya anda boleh bersedia untuk melawan atau melarikan diri.
Sebaik sahaja bahaya berlalu, sistem saraf parasimpatetik anda memberikan ketenangan dalaman, atau dikenali sebagai tetapan “rehat dan memahami.”
Pada ketika ini, fungsi kognitif normal kembali dan anda boleh kembali seperti sediakala dengan sedikit kesan sampingan seperti sedikit gelisah untuk seketika.
Namun, bagi orang yang hidup dengan trauma kompleks, keseimbangan ini tidak akan kembali sepenuhnya.
Sistem limbik kekal terlibat pada kebanyakan masa. Ini adalah mekanisme daya tindak untuk mencuba dan kekal selamat dalam menghadapi kesukaran yang berterusan.
Lama-kelamaan, ia menjadi “norma baharu” untuk otak dan badan.
Keadaan sistem saraf badan yang berada dalam keadaan “berwaspada tinggi” boleh menjejaskan pemikiran, tindakan dan hubungan anda.
Gejala-gejala Trauma Kompleks
Beberapa contoh gejala trauma kompleks adalah:
- Imbas kebelakang (flashback)
- Sukar mengawal emosi
- Sangat berwaspada
- Gangguan tidur atau mimpi ngeri
- Dipersonalisasi (merasakan diri tidak wujud)
- Terlupa atau pemisahan
- Mengalami kesukaran dalam hubungan interpersonal
- Kurang keyakinan diri atau berpandangan negatif terhadap diri sendiri
- Mengelak daripada manusia, tempat atau senario yang menyebabkan anda tidak suka
Gejala-gejala somatik (berkenaan badan) seperti sakit kepala atau sakit perut juga adalah lazim berlaku bersama-sama trauma kompleks.
Punca-punca Trauma Kompleks
Trauma kompleks boleh timbul dalam mana-mana keadaan di mana anda merasakan perasaan takut, seram, atau tidak berdaya yang berterusan dalam tempoh masa yang panjang.
Ia biasanya berpunca daripada trauma yang dialami pada zaman kanak-kanak, walaupun ia boleh berkembang semasa usia dewasa juga.
Antara punca-punca trauma kompleks adalah:
- Penderaan fizikal atau emosi berterusan
- Penderaan seksual
- Pengabaian berpanjangan
- Penyeksaan atau dijadikan tebusan
- Pemerdagangan manusia
- Pembunuhan beramai-ramai
- Hidup di zon perang
Bagaimana untuk Pulih Daripada Trauma Kompleks?
Kisah setiap orang adalah unik dan begitu juga dengan trauma mereka. Apa yang berkesan untuk seseorang mungkin tidak berkesan untuk orang lain.
Namun, ia bukanlah penghalang untuk anda pulih daripada trauma masing-masing. Terdapat banyak pilihan rawatan trauma yang boleh didapati.
Matlamat setiap pilihan rawatan adalah untuk menyediakan pengalaman emosi pembetulan untuk penyembuhan.
Antara terapi yang berkesan untuk trauma kompleks adalah seperti berikut:
- Terapi tingkah laku kognitif (CBT): Dalam terapi ini, anda meneroka hubungan antara pemikiran, perasaan dan tingkah laku anda. Sebaik sahaja anda menyedari hubungannya anda mungkin boleh mengubah tindakan anda.
- Sistem keluarga dalaman (IFS): Melalui IFS, anda belajar cara mengintegrasikan bahagian-bahagian yang berbeza dalam personaliti anda ke dalam satu keseluruhan “Diri” untuk memproses semula peristiwa traumatik dengan cara yang tidak boleh membahayakan anda lagi.
- Eye Movement Desensitization and Reprocessing (EMDR): Melalui terapi ini, anda dibimbing dengan ketukan lembut (atau nada) untuk memproses semula peristiwa traumatik dan membentuk kepercayaan baharu di sekelilingnya.
- Terapi somatik: Memandangkan trauma tinggal di kawasan limbik otak, terapi somatik atau terapi berpusatkan badan boleh mengajar badan anda bahawa ia tidak perlu bersedia untuk trauma sepanjang masa.
- Terapi Tingkah Laku Dialektik (DBT): Pendekatan ini berkesan untuk penghidap kecelaruan personaliti pinggiran (BPD), yang mempunyai banyak gejala bertindih dengan trauma kompleks.
Rujukan
- American Psychiatric Association. (2013). Diagnostic and statistical manual of mental disorders (5th ed.). Arlington, VA: American Psychiatric Association.
- Herman, J.L. (1992). Complex PTSD: A syndrome in survivors of prolonged and repeated trauma. Journal of Traumatic Stress.
- Schwartz, R.C. (2013). Moving From Acceptance Toward Transformation With Internal Family Systems Therapy (IFS). Journal of Clinical Psychology.