Terapi tingkah laku kognitif (CBT) adalah sejenis psikoterapi yang membantu pesakit untuk mengenal pasti dan mengubah corak pemikiran yang merosakkan atau mengganggu yang memberikan kesan negatif terhadap tingkah laku dan emosi.
Fokus dalam terapi ini adalah mengubah pemikiran negatif yang menyumbang kepada keresahan, kemurungan dan gangguan emosi. Pemikiran negatif ini juga turut memberikan kesan yang memudaratkan kepada “mood” pesakit.
Terapi tingkah laku kognitif adalah psikoterapi yang telah terbukti berkesan dalam merawat pelbagai masalah berkaitan mental seperti kemurungan, kecelaruan keresahan, penyalahgunaan dadah dan alkohol, kecelaruan makan dan lain-lain.
Jenis-jenis
CBT merangkumi pelbagai teknik dan pendekatan yang menangani isu-isu berkaitan pemikiran, emosi dan tingkah laku. Ini boleh terdiri daripada psikoterapi berstruktur hingga bahan bantu diri.
Terdapat beberapa jenis pendekatan rawatan khusus yang melibatkan CBT. Contohnya seperti:
- Terapi kognitif: Menumpukan kepada pengenalpastian, mengubah corak pemikiran yang tidak tepat atau terpesong, tindak balas emosi dan kelakuan.
- Terapi tingkah laku dialektik: Menangani pemikiran dan tingkah laku sambil menggabungkan strategi seperti pengawalan emosi dan kesedaran.
- Terapi Multimodal: Terapi ini mencadangkan bahawa isu psikologi mesti dirawat dengan menangani tujuh modaliti yang berbeza tetapi saling berkaitan seperti tingkah laku, kesan, sensasi, pengimejan, kognisi, faktor interpersonal, dan pertimbangan drug/biologi.
- Terapi tingkah laku emosi rasional (REBT): Terapi ini melibatkan mengenal pasti kepercayaan tidak rasional, mencabar kepercayaan ini secara aktif dan akhirnya belajar mengenali dan mengubah corak pemikiran ini.
Bagaimana Pendekatan Terapi Tingkah Laku Kognitif?
Terapi tingkah laku kognitif (CBT) menumpukan kepada pelbagai strategi untuk membantu pesakit mengatasi pemikiran yang negatif.
CBT adalah berasaskan kepada beberapa prinsip asas seperti:
- Masalah psikologi adalah berdasarkan pada cara berfikir yang salah atau tidak membantu.
- Masalah psikologi adalah berdasarkan pada corak tingkah laku yang tidak membantu.
- Orang yang mengalami masalah psikologi boleh mempelajari cara yang lebih baik untuk mengatasinya, dengan itu melegakan gejala mereka dan menjadi lebih efektif dalam kehidupan mereka.
Rawatan CBT lazimnya melibatkan usaha untuk mengubah corak pemikiran. Strategi-strategi yang mungkin terlibat adalah:
- Belajar untuk mengenali pemikiran terpesong yang menimbulkan masalah dan kemudian menilai semula pemikiran tersebut berdasarkan realiti.
- Memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang tingkah laku dan motivasi orang lain.
- Menggunakan kemahiran menyelesaikan masalah untuk berhadapan dengan situasi yang sukar.
- Belajar untuk membina keyakinan diri yang lebih kuat terhadap keupayaan diri sendiri.
Rawatan CBT juga melibatkan usaha untuk mengubah corak tingkah laku. Strategi-strategi yang mungkin terlibat adalah:
- Menghadapi ketakutan diri sendiri berbanding menghindarinya.
- Belajar untuk menenangkan fikiran dan merehatkan badan.
- Memainkan peranan untuk bersedia menghadapi interaksi yang berpotensi bermasalah dengan orang lain.
Penyakit atau Gangguan Mental yang Boleh Dirawat dengan Terapi Tingkah Laku Kognitif
Kecelaruan atau gangguan mental yang boleh ditambah baik melalui CBT adalah:
- Kemurungan
- Kecelaruan keresahan
- Fobia
- PTSD
- Kecelaruan tidur
- Kecelaruan makan
- Kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD)
- kecelaruan bipolar
- Skizofrenia
- Kecelaruan penyalahgunaan bahan
- Kecelaruan seksual
Dalam kes-kes tertentu, CBT paling berkesan apabila digabungkan dengan rawatan lain seperti ubat antidepresan.
Kebaikan dan Keberkesanan
Matlamat terapi tingkah laku kognitif adalah untuk mendidik pesakit bahawa walaupun mereka tidak dapat mengawal setiap aspek di sekeliling mereka, mereka boleh mengawal cara mereka mentafsir dan menangani perkara dalam persekitaran mereka.
CBT boleh mendatangkan manfaat berikut:
- Ia membolehkan anda terlibat dalam corak pemikiran yang lebih sihat dengan menyedari pemikiran negatif dan tidak realistik.
- Ia didapati berkesan untuk pelbagai tingkah laku maladaptif.
- Ia adalah pilihan rawatan jangka pendek yang berkesan.
- Ia selalunya lebih berpatutan daripada beberapa jenis terapi lain.
- Ia telah didapati berkesan dalam talian dan juga secara bersemuka.
- Ia boleh digunakan untuk mereka yang tidak memerlukan ubat psikotropik.
Keberkesanan terapi ini tidak dapat disangkal lagi. Terdapat banyak kajian yang melaporkan akan keberkesanan CBT dalam merawat pelbagai gangguan mental. [1]
Sebagai contoh, satu analisis yang melibatkan 41 kajian mendapati CBT berkesan untuk mengurangkan simptom-simptom keresahan dan kecelaruan berkaitan dengan keresahan seperti kecelaruan stres pascatrauma (PTSD). [2]
Terdapat juga analisis yang melibatkan 11 kajian mendapati CBT adalah berkesan untuk digunakan dalam membantu mengurangkan simptom-simptom kemurungan dan keresahan dalam kalangan penghidap demensia. [3]
Risiko
Secara umumnya, terapi tingkah laku kognitif mempunyai risiko yang kecil. Kadang-kadang, pesakit mungkin berasa tidak selesa.
Ini kerana CBT boleh menyebabkan anda meneroka perasaan, emosi dan pengalaman yang menyakitkan. Pesakit mungkin menangis, kecewa atau berasa marah semasa sesi cabaran. Anda juga mungkin berasa letih secara fizikal.
Bagi sesetengah bentuk CBT, pesakit mungkin diperlukan untuk menghadapi situasi yang lebih suka untuk dielakkan. Keadaan ini mungkin menyebabkan tekanan atau keresahan yang sementara.
Walau bagaimanapun, ahli terapi yang berpengalaman boleh mengurangkan risiko-risiko ini.
Rujukan
- Chand SP, Kuckel DP, Huecker MR. Cognitive Behavior Therapy. [Updated 2021 Aug 26]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- Carpenter, JK. et al. (2018). Cognitive behavioral therapy for anxiety and related disorders: A meta-analysis of randomized placebo-controlled trials. Depress Anxiety.
- Tay, K. W. et al. (2019). Cognitive behavioural therapy can be effective in treating anxiety and depression in persons with dementia: a systematic review. Psychogeriatrics.
- Cherry, K. (2021). What Is Cognitive Behavioral Therapy (CBT)? verywellmind