Mengetahui apa itu kaunseling boleh membantu anda untuk membuat keputusan untuk menerima terapi ini atau melibatkan diri dalam bidang kaunseling.
Apa itu Kaunseling?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kaunseling bermaksud proses teratur yang melibatkan perbincangan yang rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan usaha mengatasi atau menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat.
Dengan kata lainnya, kaunseling ialah satu bentuk terapi perbincangan. Ia melibatkan proses di mana individu, pasangan atau keluarga berjumpa dengan kaunselor profesional untuk membincangkan isu atau masalah yang dihadapi.
Kaunseling bukan nasihat. Kaunselor atau pegawai psikologi tidak akan memberikan jawapan secara langsung terhadap semua persoalan anda (klien).
Hal ini demikian kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik kepada anda. Keistimewaan perkhidmatan kaunseling adalah membimbing anda mencari sumber diri yang menyumbang kepada isu yang dihadapi.
Kaunseling memegang prinsip kerahsiaan. Ini bermakna segala rekod dan urusan surat-menyurat yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling adalah RAHSIA dan SULIT mengikut Peraturan Kaunselor (Kelakuan dan Tatatertib) 1999 dan Akta Kaunselor 1998.
Bagaimana Kaunseling Boleh Membantu?
Kaunseling digunakan untuk menangani pelbagai isu dan masalah yang mungkin anda hadapi.
Sebagai contoh, kaunseling boleh membantu anda menghadapi:
- Keadaan kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan atau gangguan makan.
- Masalah kehidupan seperti kehilangan orang tersayang, keretakan hubungan atau tekanan yang berkaitan dengan pekerjaan.
- Masalah kesihatan fizikal seperti ketidaksuburan.
- Masalah berkaitan emosi seperti kemarahan atau kurang keyakinan diri.
Kaunseling boleh memberi anda peluang untuk menilai semula atau menetapkan matlamat baharu dalam hidup anda dan membantu anda mendapatkan kejelasan dan hala tuju.
Kaunseling boleh membantu dengan membenarkan ruang yang sangat selamat dan peribadi untuk anda bercakap tentang isu dan masalah yang anda hadapi.
Ia mungkin masalah yang sukar untuk anda bercakap dengan orang lain kerana berasa sangat peribadi.
Kaunselor profesional yang terlatih dan berdaftar akan memberikan anda respons yang tulen, prihatin dan empati kepada masalah anda.
Kaunselor terlatih akan mempunyai alat dan teknik yang berasaskan bukti. Mereka boleh menggunakan alatan ini untuk menyokong anda atau membantu anda mengharungi kesukaran, masalah, perasaan, tingkah laku, pemikiran atau situasi yang anda alami.
Jenis-jenis Kaunseling
Terdapat banyak jenis kaunseling yang boleh didapati, ini termasuklah:
- Kaunseling perhubungan dan perkahwinan
- Kaunseling trauma
- Kaunseling pelajar
- Kaunseling vokasional dan kerjaya
- Kaunseling kesedihan dan kehilangan
- Kaunseling kemurungan dan kebimbangan (keresahan)
- Terapi keluarga
Kemahiran yang Diperlukan untuk Kaunseling
Terdapat banyak kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang kaunselor yang berkesan.
Pertama sekali kaunselor mestilah tulen dan boleh menjalinkan hubungan baik dengan klien mereka. Untuk terapi menjadi berkesan, hubungan klien/kaunselor mestilah sihat, tulen, selamat, tidak menghakimi dan profesional.
Terdapat 3 sifat yang perlu ada pada seorang kaunselor iaitu penyayang, tulen dan empati terhadap klien mereka.
Kaunselor hendaklah menggunakan rawatan berasaskan bukti daripada latihan formal mereka. Kaunselor perlu mempunyai set kemahiran yang sangat besar dalam ‘kotak alat’ mereka kerana setiap manusia dan situasi mereka adalah sangat berbeza.
Kaunselor perlu menjalani pembangunan profesional untuk memastikan set kemahiran mereka terkini serta menggunakan kaedah amalan terbaik.
Tidak semua kaunselor boleh membantu setiap klien. Kaunselor perlu mempunyai rangkaian komuniti dan sumber yang kukuh sebagai sebahagian daripada set kemahiran mereka.
Mereka perlu dapat mengenali apabila mereka tidak dapat membantu seseorang dan merujuk klien kepada sokongan kesihatan mental alternatif untuk kaunseling.
Rujukan
- NHS. (2023). Counselling.
- James Cook University. What are the principles of counselling?