“High-functioning autism” bukanlah istilah atau diagnosis perubatan rasmi. Ini adalah cara tidak formal yang digunakan oleh sesetengah orang apabila mereka bercakap tentang orang yang mengalami kecelaruan spektrum autisme atau ASD tetapi boleh menguruskan diri sendiri dan hidup berdikari.
Autisme ialah gangguan perkembangan otak yang merangkumi banyak gejala dengan pelbagai tahap keterukan. Sesetengah penghidap autisme memerlukan sokongan yang minimum, manakala sesetengah yang lain memerlukan sokongan yang banyak.
Disebabkan itu, autisme dikenali sebagai kecelaruan spektrum autisme.
High-functioning autism sering digunakan untuk menggambarkan penghidap austisme yang memerlukan sokongan yang sedikit.
Kecelaruan Spektrum Autisme
Untuk satu tempoh yang lama, mereka yang mempunyai gejala-gejala yang teruk akan didiagnosis dengan autisme.
Tetapi, bermula tahun 1990-an, bentuk autisme yang lebih ringan turut diambil kira, ini termasuklah sindrom Asperger.
Kemudiannya, pada tahun 2013, Persatuan Psikiatri Amerika menggumpulkan semua kecelaruan berkaitan dengan autisme dibawah satu nama yang dikenali sebagai kecelaruan spektrum autisme (autism spectrum disorder, ASD).
Adakah High-Functioning Autism Berbeza dengan Sindrom Asperger?
Sebelum kemaskini terkini iaitu The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5), DSM pernah memperincikan keadaan yang dikenali sebagai sindrom Asperger.
Orang yang didiagnosis dengan sindrom Asperger mempunyai beberapa gejala yang sama dengan orang autistik, tetapi mereka tidak mempunyai penanguhan dalam:
- Penggunaan bahasa
- Perkembangan kognitif
- Perkembangan kemahiran berdikari sesuai usia
- Perkembangan tingkah laku penyesuaian
- Perkembangan berkenaan rasa ingin tahu tentang persekitaran mereka
Gejala-gejala mereka selalunya lebih ringan dan kurang berkemungkinan menjejaskan kehidupan seharian mereka berbanding gejala orang autistik. Mereka mungkin juga telah dianggap sebagai “berfungsi tinggi” atau “high-functioning.”
Walau bagaimanapun, high-functioning autism tidak pernah menjadi diagnosis klinikal rasmi dan sindrom Asperger telah dihapuskan daripada DSM-5 bersama-sama dengan beberapa gangguan perkembangan saraf yang lain.
Mereka yang mengalami kesukaran dengan interaksi sosial dan komunikasi atau yang menunjukkan tingkah laku yang berulang atau terbatas kini hanya akan didiagnosis dengan ASD.
Menurut DSM-5, individu autistik boleh dibahagikan kepada 3 tahap iaitu tahap 1, tahap 2 dan tahap 3. Tahap 1 dikenali sebagai ‘paling ringan’ dan level 3 dikenali sebagai ‘paling teruk.’
Tanda-tanda atau Gejala High-Functioning Autism
Mereka yang didiagnosis dengan ASD pada tahap 1 biasanya turut dikenali sebagai high-functioning autism.
Golongan ini mungkin mempunyai tanda-tanda atau gejala yang tidak terlalu mengganggu kerja, persekolahan dan perhubungan.
Penghidap high-functioning autism mungkin menunjukkan tanda-tanda atau gejala seperti:
- Tidak menyebutkan sesuatu yang betul pada masa yang betul
- Tidak dapat membaca bahasa badan atau isyarat sosial
- Mengalami kesukaran untuk beralih daripada satu aktiviti kepada aktiviti yang lain
- Mengalami kesukaran untuk mencuba benda baru
- Mungkin mengalami masalah dengan perancangan dan penyusunan
Rawatan atau Sokongan
Tiada sebarang saranan yang standard bagi merawat atau menyokong tahap kecelaruan spektrum autisme yang berbeza. Sokongan bergantung pada gejala-gejala unik setiap orang.
Antara sokongan-sokongan yang boleh diberikan kepada penghidap ASD adalah:
- Terapi fizikal: Sesetengah orang autistik mempunyai masalah dengan kemahiran motor. Ini boleh menyukarkan tindakan seperti melompat, berjalan atau berlari. Terapi fizikal boleh membantu menguatkan otot dan meningkatkan kemahiran motor.
- Terapi pertuturan: Sesetengah orang autistik mungkin tidak boleh bercakap langsung, manakala yang lain mungkin menghadapi masalah untuk terlibat dalam perbualan dengan orang lain. Terapi pertuturan boleh membantu menangani pelbagai masalah pertuturan.
- Terapi cara kerja: Terapi cara kerja boleh membantu orang autistik mempelajari cara menggunakan tangan, kaki atau bahagian badan yang lain dengan lebih cekap. Ini boleh memudahkan tugas harian dan bekerja.
- Latihan deria: Orang autistik selalunya sensitif terhadap bunyi, lampu dan sentuhan. Latihan deria membantu golongan ini menjadi lebih selesa dengan input deria.
- Ubat-ubatan: Walaupun tiada sebarang ubat yang direka untuk merawat ASD, ubat tertentu boleh membantu menguruskan gejala-gejala tertentu, seperti kemurungan atau keresahan.
Rujukan
- Marschall,A. (2022). What Is ‘High-Functioning’ Autism? verywellmind
- Roybal, B. (2023). What Is High-Functioning Autism? WebMD