Adrenalin adalah hormon stres yang dikenali sebagai epinefrin. Hormon ini dihasilkan oleh kelenjar adrenal dan dilepaskan ke dalam saluran darah.
Adrenalin adalah sebagai daripada respons lawan atau lari. Apabila seseorang itu menghadapi ancaman atau tekanan, hormon ini akan merangsang sistem saraf.
Adrenalin juga merupakan hormon yang membantu anda membuat tindak balas pantas sekiranya anda berada dalam situasi yang mencemaskan, bermasalah, bahaya atau mengancam nyawa.
Sebagai contoh, ketika anda sedang menunggang motosikal. Tiba-tiba seekor kucing melintas dan anda mengelak dengan pantas. Badan anda menghasilkan adrenalin yang membawa kepada tindak balas fizikal yang pantas tersebut.
Anda juga mungkin berpeluh, denyutan jantung menjadi laju atau menggigil. Ini adalah tindak balas semula jadi dan sihat.
Sukan-sukan ekstrem juga turut terkenal sebagai sukan yang menyebabkan “adrenaline rush” bagi pemainnya.
Ciri-ciri
Adrenalin dilepaskan apabila anda berada dalam krisis atau mengalami emosi yang kuat seperti keterujaan atau ketakutan. Hormon ini turut dihasilkan bersama-sama hormon kortisol dan aldosteron.
Apabila adrenalin dilepaskan, mesej dihantar ke organ-organ yang berbeza dalam badan anda seperti jantung dan paru-paru.
Anda mungkin mengalami:
- Peningkatan kadar jantung
- Peningkatan tekanan darah
- Pengurangan kepekaan terhadap kesakitan
- Deria meningkat
- Anak mata membesar
- Badan menggigil
- Peluh berlebihan
Apabila anda berada dalam situasi “lawan atau lari”, anda mungkin berlari lebih laju daripada biasa atau anda mungkin tidak berasa sakit walaupun anda telah cedera.
Ini boleh berlaku apabila badan anda beralih kepada mod bertahan hidup (survival).
Kesan Adrenalin Terhadap Badan dan Minda
Sesetengah orang suka untuk mengalami lonjakan adrenalin. Contohnya pemain sukan ekstrem pelumba kereta, pelumba motorsikal, penerjun udara, bungee jumper, atau parkour.
Walau bagaimanapun, adrenalin yang banyak boleh menjadi masalah terutamanya anda mengalami stres yang kronik (berpanjangan).
Jika anda sentiasa berada dalam mod “lawan atau lari”, anda akan mengalami gejala yang berpanjangan, yang boleh membahayakan minda dan badan anda.
Adrenalin yang berlebihan boleh menyebabkan:
- Sakit kepala
- Insomnia
- Tegangan otot
- Masalah penghadaman
- Peningkatan berat badan
- Keresahan atau kebimbangan
- Kemurungan
- Tekanan darah tinggi
- Penyakit jantung
- Strok
Cara Mengawal Paras Adrenalin
Mungkin anda bekerja dalam persekitaran tekanan tinggi seperti hospital atau sekolah, atau anda berhadapan dengan tekanan peribadi seperti masalah rumah tangga yang boleh menyebabkan beban adrenalin yang berlebihan.
Untuk mengehadkan kekerapan “adrenaline rush“, anda perlu menguruskan tekanan dalam hidup anda dan mengamalkan langkah-langkah yang boleh mengawal tekanan ini dengan sihat.
Contohnya, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
- Bersenam setiap hari
- Bermeditasi atau bersolat
- Menarik nafas dalam-dalam
- Berehat
- Memakan makanan yang sihat
- Mengehadkan pengambilan kafein
- Berhenti meminum alkohol
Harus diingat bahawa, tekanan yang berpanjangan memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan anda, tetapi ia boleh ditangani.
Rawatan untuk Anafilaksis
Adrenalin turut digunakan dalam kecemasan bagi merawat tindak balas alahan yang serius, yang dikenali sebagai anafilaksis.
Ia boleh merangsang jantung, mengendurkan otot-otot di saluran pernafasan, meningkatkan tekanan darah, menambah baik pernafasan dan mencegah perkembangan gejala pernafasan atau kardiovaskular yang mengancam nyawa.
Sekiranya anda atau anak anda menghidap alahan kacang tanah, alahan sengatan serangga atau alahan telur yang serius, anda memerlukan suntikan adrenalin dengan segera bagi mengelakkan gejala-gejala anafilaksis daripada berlaku.
Penyuntik adrenalin turut dikenali sebagai penyuntik epinefrin atau EpiPen. Penyuntik ini perlu sentiasa dibawa bersama ketika anda atau anak anda berada di luar.
Ringkasan
Ada orang suka dan tidak suka akan perasaan adrenalin, tetapi ia adalah tindak balas semua jadi badan manusia. Meskipun begitu, anda tidak sepatutnya mengelak daripada aktiviti tertentu seperti pengucapan awam demi mengelak daripada “adrenaline rush.”
Bagi anda yang menyukai sukan lasak atau ekstrem, mengalami adrenalin terlalu kerap boleh menyebabkan kesan negatif terhadap badan.
Apa yang penting adalah anda perlu mengawal dan menguruskan stres serta perasaan anda.
Rujukan
- McLean-Tooke, A. P. et al. (2003). Adrenaline in the treatment of anaphylaxis: what is the evidence?. BMJ.