Amnesia disosiatif adalah salah satu daripada kumpulan kecelaruan disosiatif di mana seseorang tidak dapat mengingati maklumat penting tentang kehidupan mereka. Sifat pelupa ini mungkin terhad kepada kawasan tertentu atau mungkin termasuk sebahagian besar sejarah hidup atau identiti seseorang.
Penghidap penyakit ini boleh lupa akan maklumat penting tentang kehidupannya termasuklah perkara seperti nama, keluarga, rakan-rakan dan sejarah peribadi mereka. Lebih parah penghidap kecelaruan disosiatif ini boleh berjalan ke tempat lain dan mengguna pakai identiti baru sepenuhnya.
Amnesia disosiatif tidak sama dengan amnesia biasa yang melibatkan kehilangan maklumat dari ingatan, biasanya akibat penyakit atau kecederaan pada otak. Bagi amnesia disosiatif, ingatan masih wujud tetapi terpendam dalam fikiran seseorang dan tidak dapat diingati.
Amnesia disosiatif adalah lebih biasa berlaku kepada wanita berbanding lelaki. Kekerapan amnesia disosiatif cenderung meningkat semasa tempoh tekanan atau traumatik, seperti semasa perang atau selepas bencana alam.
Jenis-jenis Amnesia Disosiatif
Terdapat beberapa jenis amnesia disosiatif iaitu:
- Setempat (localized): Keadaan dimana pesakit tidak mengingati peristiwa daripada tempoh masa tertentu.
- Umum (generalized): Ia melibatkan kehilangan ingatan sepenuhnya termasuk identiti dan sejrah hidup. Ianya sangat jarang berlaku.
- Fugue: Turut dipanggil fugue disosiatif. Bagi disosiatif jenis ini pesakit akan lupa kebanyakan daripada maklumat peribadi dan mungkin akan merayau atau pergi ke tempat biasanya tidak akan pergi. Bagi sesetengah kes, pesakit mungkin boleh mengambil identiti baru.
Simptom-simptom dan Gejala
Simptom utama bagi kecelaruan mental ini adalah lupa atau hilang ingatan yang tiba-tiba.
Sesetengah orang yang mengalami kecelaruan ini juga mungkin kelihatan keliru dan mengalami kemurungan, kebimbangan atau kecelaruan psikiatri.
Punca yang Menyebabkan Amnesia Disosiatif
Amnesia disosiatif ikatakan berpunca daripada stres yang melampau yang disebabkan oleh peristiwa traumatik seperti peperangan, penderaan, kemalangan atau bencana alam.
Penghidapnya mungkin pernah mengalami atau menyaksikan peristiwa trauma tersebut.
Golongan berisiko
Mereka yang pernah mengalami penderaan semasa zaman kanak-kanak dan pernah mengalami perisitiwa traumatik dalam hidup mereka berisiko untuk mengalami kecelaruan jenis ini.
Bagaimana Amnesia Disosiatif Didiagnosis?
Sekiranya seseorang itu menunjukkan simptom amnesia disosiatif, doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan sejarah perubatan yang lengkap.
Doktor mungkin akan menjalankan ujian darah atau pengimejan seperti imbasan sinaran-X, imbasan CT atau MRI bagi memastikan simptom yang berlaku tidak disebabkan oleh kecederaan fizikal.
Sekiranya tiada kecederaan fizikal, doktor mungkin akan merujuk anda kepada ahli profesional kesihatan mental seperti ahli psikiatri dan ahli psikologi.
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5), beberapa kriteria diagnostik bagi kecelaruan ini adalah:
- Ketidakupayaan untuk mengingat maklumat autobiografi yang penting, biasanya bersifat traumatik atau tekanan, yang tidak konsisten dengan lupa biasa.
- Simptom-simptom menyebabkan kesusahan atau kemerosotan yang ketara secara klinikal dalam bidang sosial, pekerjaan atau fungsi penting lain.
- Kecelaruan tersebut tidak dikaitkan dengan kesan penyalahgunaan bahan (seperti dadah atau alkohol) atau keadaan kesihatan lain (seperti sawan, kecederaan kepala, amnesia global sementara).
- Kecelaruan itu tidak disebabkan oleh kecelaruan identiti disosiatif, kecelaruan stres pascatrauma (PTSD), kecelaruan stres akut, kecelaruan simptom somatik atau kecelaruan neurokognitif major atau ringan.
Bagaimana Amnesia Disosiatif Dirawat?
Amnesia disosiatif dirawat berbeza-beza bagi setiap pesakit mengikut jenis amnesia dan keterukan simptom-simptom yang berlaku.
Matlamat rawatan adalah untuk melegakan simptom-simptom yang berlaku, memastikan pesakit dan orang disekelilingnya selamat dan “menyambung semula” pesakit dengan ingatan yang hilang.
Psikoterapi
- Terapi tingkah laku kognitif (CBT): Terapi ini memberi tumpuan kepada mengubah corak pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang berbahaya.
- Terapi tingkah laku dialektik: Psikoterapi ini adalah untuk orang yang mengalami kecelaruan personaliti yang teruk (yang boleh termasuk gejala disosiatif) dan selalunya berlaku selepas orang itu mengalami penderaan atau trauma.
- Terapi keluarga: Terapi jenis ini membantu mengajar keluarga tentang kecelaruan tersebut dan membantu ahli keluarga mengenalinya jika simptom pesakit kembali.
- Penyahpekaan pergerakan mata dan pemprosesan semula: Teknik ini adalah untuk merawat mereka yang sentiasa mengalami mimpi ngeri, imbas kembali dan simptom-simpotm berkaitan kecelaruan stres pascatrauma (PTSD).
Ubat-ubatan
Ubat seperti ubat antidepresen atau ubat antikeresahan mungkin diberikan oleh doktor sekiranya pesakit turut mengalami simptom-simptom seperti kemurungan atau keresahan atau kedua-duanya sekali.
Rujukan
- Schulman, J.S. (2019). What Is Dissociative Amnesia and How Is It Treated? Healthline.
- Cleveland Clinic. (2020). Dissociative Amnesia.