Mungkin anda sering mengalami keresahan atau kebimbangan (anxiety), keadaan ini mungkin menyebabkan anda tertanya-tanya adakah anda menghidap kecelaruan keresahan (anxiety disorder)? Atau adakah keresahan dan kecelaruan keresahan adalah sama?
Bagi membantu anda menjawab persoalan-persoalan ini, artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai perbezaan atau persamaan antara keresahan dan kecelaruan keresahan.
Perkara pertama yang harus diketahui atau diingat adalah merasa resah atau bimbang dari semasa ke semasa tidak semestinya menunjukkan anda menghidap kecelaruan keresahan.
Keresahan atau kebimbangan adalah tindak balas semula jadi manusia. Keresahan boleh berguna, walaupun ia tidak menyenangkan untuk dialami.
Apabila tindak balas keresahan anda berfungsi seperti yang dimaksudkan, ia boleh membantu anda menjangkakan kejadian berbahaya dan mengaktifkan respons lawan atau lari, yang merupakan mekanisme kelangsungan hidup yang terbina dalam diri anda.
Secara ringkas, keresahan adalah tindak balas ancaman. Keresahan dan kebimbangan merujuk kepada set pengalaman mental dan fizikal yang sama, yang dicirikan oleh:
- Bimbang
- Stres (tekanan)
- Kewaspadaan
- Cemas
Orang ramai mungkin menggunakan perkataan “keresahan (anxiety)” lebih kerap untuk merujuk kepada kecelaruan keresahan, yang melangkaui keresahan biasa.
Perbezaan Antara Keresahan dan Kecelaruan Keresahan
Jadual di bawah adalah ringkasan maklumat bagi membantu anda memahami dengan lebih lanjut mengenai perbezaan antara keresahan dan kecelaruan keresahan.
Keresahan | Kecelaruan Keresahan | |
---|---|---|
Apakah ia? | Tindak balas semula jadi terhadap potensi ancaman. | Tindak balas yang tidak seimbang terhadap ancaman yang dirasakan. |
Bagaimana rasanya? | Cemas, bimbang, kewaspadaan, dan tindak balas fizikal seperti berpeluh atau menggigil. | Gejala fizikal jangka panjang, seperti sakit kepala atau sakit otot, sebagai tambahan kepada gejala keresahan biasa. |
Bilakah anda merasakannya? | Sebelum atau semasa peristiwa yang menimbulkan tekanan. | Bila-bila masa, atau dalam situasi tertentu di mana orang lain tidak akan berasa cemas. |
Punca atau penyebab | Peristiwa dan perubahan kehidupan yang menekan. | Faktor genetik, seperti perangai, dan faktor persekitaran, seperti didikan |
Impak | Lebih bimbang semasa fasa kehidupan yang menekan. | Terlepas peluang kerana mengelak dan/atau gejala fizikal akibat tekanan jangka panjang. |
Bilakah Keresahan Menjadi Masalah?
Keresahan atau kebimbangan mula menjadi masalah apabila tindak balas semula jadi ini seolah-olah membara sepanjang masa atau mengganggu kehidupan harian anda dengan ketara.
Apabila keadaan ini berlaku, anda mungkin mengalami kecelaruan keresahan.
Keresahan meningkat dan berkurang mengikut peristiwa yang dilihat oleh kebanyakan orang sebagai banyak tekanan.
Manakala, kecelaruan keresahan menyebabkan anda bertindak balas secara tidak seimbang kepada lebih banyak peristiwa dalam kehidupan seharian.
Jika anda mengalami kecelaruan keresahan, anda mungkin akan mendapati bahawa keresahan membuatkan anda bimbang tentang perkara dalam kehidupan seharian yang lazimnya tidak menjejaskan orang lain.
Bagaimana untuk Uruskan Keresahan?
Keresahan atau kecelaruan keresahan boleh diuruskan agar ia tidak menjejaskan anda. Terdapat beberapa pilihan rawatan atau teknik yang boleh membantu, antaranya adalah:
1. Teknik Santaian
Teknik santaian adalah teknik yang berkesan untuk menenangkan diri anda dengan cepat, setiap kali anda berasa resah.
Teknik ini boleh dilakukan di rumah atau di mana-mana sahaja yang dikira bersesuaian.
Tambahan itu juga, analisis yang dijalankan pada 2017 turut menunjukkan bahawa teknik santaian didapati berkesan sepertimana terapi tingkah laku kognitif untuk merawat sesetengah kecelaruan keresahan. [1]
Antara contoh teknik santaian adalah:
- Meditasi
- Pernafasan penuh perhatian (mindful breathing)
- Yoga untuk keresahan
- Pengenduran otot progresif
2. Terapi
Anda juga boleh mendapatkan terapi melalui ahli terapi yang bertauliah bagi membantu keresahan yang anda alami.
Mendapatkan terapi boleh membantu anda:
- Mengetahui sama ada anda menghidap kecelaruan keresahan atau tidak.
- Menguruskan emosi semasa fasa kehidupan yang mencetuskan keresahan.
- Membina kemahiran untuk mengurus dan mengurangkan gejala-gejala kecelaruan keresahan.
3. Penjagaan Diri
Penjagaan diri juga penting sekiranya anda ingin mengurangkan keresahan atau merawat kecelaruan keresahan yang dialami.
Beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian adalah:
- Tidur: Dapatkan tidur yang mencukupi.
- Pemakanan: Makan makanan berkhasiat dan yang boleh mengurangkan keresahan seperti teh hijau dan coklat pahit.
- Bersenam: Berjalan, berjoging, menari atau pergi ke gimnasium boleh membantu mengurangkan tekanan dan keresahan.
- Melakukan aktiviti yang menyeronokkan: Melakukan aktiviti yang anda suka boleh membantu mengurangkan keresahan.
4. Ubat-ubatan
Sekiranya anda menghidap kecelaruan keresahan, doktor atau pakar psikiatri akan mempreskripsi ubat-ubatan antikeresahan sebagai sebahagian daripada pelan rawatan.
Jenis ubat-ubatan ini bergantung kepada gejala-gejala khusus yang berlaku kepada anda.
Rujukan
- Montero-Marin, J. et al. (2018). Is cognitive–behavioural therapy more effective than relaxation therapy in the treatment of anxiety disorders? A meta-analysis. Psychological Medicine.