Ramai orang yang boleh menjadi ‘bos’ tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin. Menjadi seorang pemimpin atau lebih tepat pemimpin yang positif di tempat kerja bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, ia tidak mustahil. Anda boleh menjadi seorang pemimpin yang positif sekiranya anda boleh melakukan beberapa perkara yang dinyatakan dalam artikel ini.
Kenapa pemimpin yang positif penting di tempat kerja? Pemimpin yang positif akan mewujudkan suasana kerja yang lebih baik kepada pekerja-pekerja bawahan.
Pekerja akan berasa lebih bersemangat untuk melakukan tugasan yang diberikan dan melakukannya dengan lebih berdedikasi.
Pemimpin seperti ini juga akan lebih disukai oleh orang bawahan dan mungkin juga menjadi idola atau contoh kepada pekerja-pekerja yang lain.
Pemimpin menetapkan aras untuk suasana dan iklim yang diharapkan di tempat kerja. Ingatlah bahawa kepositifan melahirkan kepositifan.
Jadi, ikuti petua mudah ini untuk meningkatkan semangat dan suasana yang harmoni di tempat kerja.
1. Zahirkan Rasa Terima Kasih
Apabila seorang pemimpin menzahirkan rasa terima kasih, ia menggambarkan bahawa anda menghargai pekerja-pekerja atau rakan sejawat anda.
Rasa terima kasih ini boleh diekspresikan dengan memberikan contoh yang jelas mengapa anda berterima kasih kepada orang itu dan atas sumbangan mereka.
Dengan berbuat demikian, orang lain berasa dihargai dan semangat muhibah yang lebih besar diwujudkan.
2. Berkongsi Penghargaan
Ciri-ciri ini akan menjadikan anda seorang pemimpin yang merendah diri.
Adalah sangat mudah bagi seorang pemimpin untuk mengambil semua penghargaan (kredit) untuk kerja yang dilakukan dengan baik.
Pemimpin yang paling berkesan ialah mereka yang mengiktiraf kerja orang lain dan membantu orang lain bangkit bersama mereka.
Pemimpin yang baik hati tidak mementingkan diri sendiri. Dia mengambil perhatian mereka yang membantunya. Dia berkongsi maklum balas ini dengan ikhlas dan konsisten.
3. Memuji Tingkah Laku yang Anda Mahukan
Puji pekerja anda secara terbuka apabila pekerja anda melakukan perubahan yang anda mahu lihat. Maklumkan kepada pekerja anda bahawa mereka melakukan perubahan atau tindakan yang positif.
Memuji pekerja anda memberikan isyarat bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul dan menepati kehendak anda atau syarikat.
4. Menggalakkan Penumbuhan Penetapan Minda
Penumbuhan penetapan minda (growth mindset) ialah tingkah laku ‘boleh’ dilakukan.
Sebagai contoh, mencari ‘kemenangan’ dalam kegagalan dan melihat setiap kemunduran sebagai peluang untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.
Seseorang yang mempunyai penumbuhan penetapan minda menunjukkan daya tahan dan ketabahan.
Justeru itu, adalah penting untuk anda menerapkan nilai-nilai seperti ini dalam kalangan pekerja atau organisasi anda.
5. Bertenang dan Berhemah
Jadilah pemimpin yang menyokong, memberikan jaminan bahawa semuanya akan baik-baik saja walaupun dalam keadaan yang tidak selesa.
Apabila boleh, pilih untuk bertindak balas dengan sabar dan logik berbanding kemarahan semasa keadaan yang sukar.