Setiap orang mempunyai pandangan atau sikap yang tersendiri bagi sesuatu perkara. Perbezaan ini boleh dikategorikan kepada tiga iaitu optimis, pesimis atau realis. Jadi, adakah anda seorang yang optimis, pesimis atau realis?
Mengetahui sikap dan pandangan anda terhadap kehidupan ini mempunyai banyak kebaikan. Mengenali diri sendiri boleh membantu anda untuk membuat keputusan yang lebih baik. Tambahan daripada itu juga, mengenali diri sendiri boleh membantu anda memahami orang lain dengan lebih baik.
Selain itu, mengenali diri sendiri juga boleh membantu anda mengetahui kekuatan dan kelemahan diri. Maka, anda boleh membaiki kelemahan yang ada pada diri sendiri.
Apa itu Optimis, Pesimis atau Realis?
Terdapat pelbagai cara untuk melihat dunia di sekeliling kita. Sesetengah orang melihat segelas air sebagai separuh kosong, manakala yang lain melihatnya sebagai separuh penuh.
Optimis adalah orang yang selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu perkembangan, kemungkinan atau masa depan. Seorang yang optimis selalu mempunyai harapan yang baik dalam menghadapi sesuatu hal.
Pesimis pula adalah seorang yang bersikap mudah berputus asa atau mudah kecewa. Seorang yang pesimis cenderung untuk melihat keburukan sesuatu perkara, segera berasa kecewa atau hilang kepercayaan terhadap sesuatu.
Manakala, realis pula adalah seorang yang berpegang pada kenyataan. Seorang yang realis percaya bahawa masa hadapan boleh menjadi lebih baik atau lebih buruk daripada masa kini.
Bagaimana untuk Mengenal pasti Anda Tergolong dalam Kumpulan Mana?
Bagaimana untuk mengetahui bahawa anda tergolong dalam kumpulan yang mana?
Seorang yang optimis sentiasa mengharapkan hasil yang terbaik dalam kebanyakan situasi. Orang yang optimistik adalah orang yang boleh memotivasikan diri sendiri. Mereka sering melihat peluang berbanding masalah.
Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna orang yang optimistik tidak akan pernah mengalami sebarang masalah dalam hidup mereka. Tetapi, mereka memilih untuk menerima situasi tersebut dan melihat sesuatu perkara pada sudut yang positif.
Sekiranya anda menjawab “ya” bagi 3 atau lebih soalan berikut, anda mungkin seorang yang optimis:
- Adakah anda menganggap diri anda seorang yang bahagia?
- Adakah anda rasa mudah untuk menjadi positif?
- Adakah anda sentiasa melihat sudut positif dalam setiap situasi?
- Adakah anda sering mengharapkan sesuatu perkara atau hal berjalan lancar?
Seorang yang pesimis pula sering meramalkan kemungkinan terburuk dalam kebanyakan situasi. Mereka cenderung untuk menumpukan kepada negatif dan mencari apa yang mungkin salah berbanding apa yang mungkin betul.
Sekiranya anda menjawab “ya” bagi 3 atau lebih soalan berikut, anda mungkin seorang yang pesimis:
- Adakah anda sering berasa sedih atau negatif?
- Adakah anda berasa sukar untuk bahagia?
- Adakah anda sentiasa mencari kelemahan dalam setiap situasi?
- Adakah anda sering menjangkakan perkara yang tidak kena?
Seorang yang realis pula berada ditengah-tengah antara optimistik atau pesimistik. Seorang yang realistik sentiasa membuat keputusan berdasarkan fakta, bukan emosi dan cuba untuk mengambil kira segala faktor.
Sekiranya anda menjawab “ya” bagi 3 atau lebih soalan berikut, anda mungkin seorang yang realis:
- Adakah anda menganggap diri anda mempunyai pendekatan hidup yang seimbang?
- Adakah anda membuat keputusan berdasarkan fakta?
- Adakah anda cenderung untuk melihat aspek positif dan negatif bagi sesuatu situasi?
- Adakah anda menjangkakan perkara atau hal boleh menjadi buruk atau baik bergantung kepada situasi?
Kelebihan dan Kekurangan Menjadi Seorang yang Optimis
Seorang yang optimis cenderung untuk hidup lebih lama, pulih lebih cepat daripada pembedahan atau penyakit, bangkit dengan lebih baik daripada masalah kewangan dan mempunyai kehidupan sosial yang lebih baik.
Kajian turut menunjukkan bahawa seorang yang optimistik lebih cenderung untuk mempunyai kesihatan fizikal yang lebih baik berbanding mereka yang pesimistik. [1]
Walau bagaimanapun, apabila seorang yang optimis terlalu positif, ia mungkin membawa kepada kecenderungan optimistik yang boleh menyebabkan mereka mengambil risiko yang tidak perlu.
Mereka mungkin memandang rendah jumlah masa dan usaha yang diperlukan untuk mencapai sesuatu.
Kelebihan dan Kekurangan Menjadi Seorang yang Pesimis
Seorang yang pesimis pula adalah seorang yang bersedia untuk menghadapi masalah. Mereka selalunya mempunyai Pelan B atau pun Pelan C dan tidak takut dengan perubahan.
Seorang yang pesimis juga lebih cenderung untuk menjadi seorang yang sangat teratur dan terperinci.
Walau bagaimanapun, seorang yang pesimis mungkin mempunyai keyakinan diri yang rendah. Mereka juga sering melihat sesuatu perkara pada sudut negatif. Keadaan ini boleh menghalang mereka daripada mencapai potensi sebenar diri mereka dan menikmati kehidupan ini.
Kajian turut menunjukkan pesimisme meningkatkan tumpuan kepada aspek negatif masa lalu yang boleh membawa kepada persepsi lebih buruk tentang kehidupan dalam kalangan golongan berusia. [2]
Kelebihan dan Kekurangan Menjadi Seorang yang Realis
Kelebihan seorang yang realis adalah mereka dapat melihat perkara-perkara yang sebenarnya dan mengambil kira segala-galanya sebelum membuat keputusan.
Seorang yang realis biasanya seorang yang praktikal dan sederhana kerana mereka mengambil kira segala-galanya sebelum membuat keputusan. Golongan ini biasanya pandai menyelesaikan masalah kerana mereka boleh membuat pertimbangan terhadap pilihan mereka.
Orang yang bersikap realis selalunya tidak dipengaruhi oleh emosi dan boleh menjadi kritikal. Mereka juga mungkin terlepas peluang kerana terlalu realistik tentang risiko yang terlibat.
Walau bagaimanapun, seorang yang realis juga cenderung untuk mengabaikan kepercayaan, emosi, imaginasi, budaya dan sebagainya.
Ringkasan
Setiap orang pasti mempunyai kecenderungan sikap atau perwatakan yang meletakkan diri mereka sebagai seorang yang optimis, pesimis atau realis.
Pandangan atau sikap yang terbaik adalah mempunyai pandangan yang positif terhadap kehidupan namun turut diseimbangkan dengan kepekaan seperti seorang yang realis.
Ini membolehkan anda menjalani kehidupan sebaiknya sambil bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Rujukan
- Rasmussen, H. N. et al. (2009). Optimism and physical health: a meta-analytic review. Annals of behavioral medicine : a publication of the Society of Behavioral Medicine.
- Puig-Perez, S. et al. (2018). Being an optimist or a pessimist and its relationship with morning cortisol release and past life review in healthy older people. Psychology & health.