Islam adalah agama yang syumul dan ad-Din iaitu cara hidup. Islam mengajar dan memberi panduan kepada penganutnya dalam menjalani kehidupan seharian. Adab berhutang juga merupakah salah satu panduan yang digariskan dalam Islam.
Hutang atau dalam bahasa Arabnya ialah “Dayn”.
Dari segi bahasa hutang ialah sebarang tanggungan (liabiliti) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya.
Dari segi istilah umum pula hutang ialah hak atau tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban di masa hadapan.
Setiap orang mesti mempunyai alasan sendiri kenapa mereka berhutang. Mungkin untuk keperluan peribadi dan mungkin juga untuk keperluan perniagaan.
Menjadi dilemma dalam kebanyakan masyarakat apabila orang yang berhutang berlengah-lengah atau melupakan hutang yang dilakukan oleh mereka.
Ada yang berhutang tetapi dengan segaja tidak mahu membayarnya. Tidak kurang juga dengan golongan yang memberi pelbagai alasan apabila tempoh perjanjian hutang telah tiba atau tamat.
Keadaan ini mencetuskan suasana yang tidak harmoni bahkan boleh mencetuskan pergaduhan dan kemarahan.
Islam melihat berhutang adalah suatu perkara yang serius dan harus diambil perhatian sewajarnya.
Ini berdasarkan satu hadith daripada Abu Hurairah RA berkata: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.”
Riwayat al-Tirmizi (1079) (Rujukan)
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa hadith ini memberi isyarat betapa beratnya kesan hutang ke atas seseorang dan galakkan supaya mengelakkan daripada berhutang kecuali keadaan memaksa.
Rasulullah SAW juga sering berdoa agar dirinya dijauhkan daripada bebanan hutang. Apabila ditanya sebabnya, Baginda menjawab yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang banyak berhutang, dia akan bercakap lalu berbohong, dia akan banyak berjanji lalu mengingkari.“
Riwayat al-Bukhari dan Muslim (Rujukan)
Adab Berhutang Dalam Islam
Terdapat beberapa adab yang dilandaskan oleh agama Islam kepada orang yang berhutang, orang yang memberi hutang dan adab berkenaan hutang piutang.
Adab Orang yang Berhutang
1. Berhutang hanya ketika terpaksa atau darurat
Seseorang itu dilarang daripada berhutang untuk membeli sesuatu dan bermegah-megah dengannya. Atau berniat untuk melakukan perkara yang dilarang oleh Allah dengan wang pinjaman tersebut.
2. Niat untuk menjelaskan hutang
Setiap kali berhutang, niatlah untuk menjelaskan hutang tersebut kerana Allah akan membantunya dalam menjelaskan hutang tersebut.
3. Merekodkan hutang
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”
Ayat ini membicarakan secara terperinci berkenaan dengan perintah mencatatkan hutang beserta syarat-syarat saksi iaitu dua orang lelaki yang adil atau seorang lelaki beserta dua orang perempuan.
Ibn Kathir menyimpulkan bahawa majoriti ulama menyatakan perintah ini adalah sunat.
Amalan menulis ini amatlah baik terutamanya ketika berlakunya kematian kerana ia boleh menjadi bukti yang menjaga hak pemberi hutang.
4. Berusaha berhutang dengan orang yang soleh
Hal ini demikian kerana, orang yang soleh tidak akan mencemarkan nama baik orang yang berhutang dengannya.
Golongan ini juga tidak akan menyebarkan tentang hutang tersebut atau mengungkit-ungkit akan pemberiannya.
5. Membayar hutang pada waktunya
Penghutang juga harus melangsaikan hutangnya pada tempoh atau tarikh yang telah dipersetujui dan tidak bertangguh-tangguh.
Rasululah SAW bersabda, maksudnya:
“Orang yang menunda untuk melunaskan hutang (padahal dia boleh melunaskannya) ialah orang yang zalim.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
6. Berhutang mengikut kemampuan
Ukur baju di badan sendiri. Berhutanglah mengikut kemampuan. Kemampuan untuk membayar hutang itu kembali.
Berusaha untuk meminimumkan kadar hutang iaitu cukup sekadar untuk memenuhi keperluan diri dan bukannya kehendak diri.
7. Membayar hutang dengan cara yang baik
Berterima kasih kepada pemberi hutang dan menggantikan sesuatu yang lebih baik bagi barang yang dipinjam adalah antara adab yang boleh dilakukan.
Adab Orang yang Memberi Hutang
Selain penghutang, orang yang memberi hutang atau pemiutang juga harus mengamalkan beberapa adab yang digariskan dalam Islam. Antaranya ialah:
1. Memasang niat yang baik
Berniatlah untuk menolong seseorang itu kerana Allah. Sesungguhnya, golongan ini akan beroleh pahala atas perbuatan tersebut.
Allah SWT juga menyukai seseorang yang membantu saudaranya keluar daripada kesempitan.
2. Bertolak ansur kepada penghutang
Adakalanya, penghutang yang berhutang mengalami kesempitan atau kesukaran untuk membayar balik hutang akibat kesempitan hidup atau masalahnya.
Oleh itu, berilah kelonggaran dari segi penambahan waktu untuk penghutang membayar hutang.
Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 280 yang bermaksud:
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”
3. Menghapuskan hutang bagi penghutang yang tidak mampu membayarnya
Menghapuskan hutang kepada penghutang yang tidak mampu membayar hutang adalah satu tindakan yang amat mulia.
Selain firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 280, terdapat juga hadith daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Terdapat seorang pedagang yang suka memberi hutang kepada manusia. Apabila melihat ada yang tidak mampu membayarnya, dia berkata kepada pembantunya: ‘Maafkan sahaja dan hapuskan hutangnya. Semoga Allah pun memaafkan kita.’ Maka Allah pun memaafkan (dosa-dosanya).”
Riwayat al-Bukhari
4. Menuntut hutang dengan cara baik
Adalah satu adab yang mulia bagi seorang pemiutang menuntut hutangnya dengan cara yang baik dan lemah lembut.
Janganlah menuntut hutang dengan mengunakan kekerasan seperti mengupah samseng untuk mencederakan penghutang.
Sebaliknya, berdoalah kepada Allah SWT agar penghutang ini dapat membayar hutang mengikut perjanjian yang dipersetujui.
Hukum Berhutang
Hukum berhutang pada asalnya adalah HARUS.
Namun, hukum ini mungkin berubah bergantung kepada niat orang yang berhutang. Hutang menjadi:
- Haram: Jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, berjudi dan lain-lain lagi.
- Makruh: Jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah atau untuk menunjuk-nunjuk. Atau penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut.
- Wajib: Jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.
Rujukan
- Rujukan Hukum: Mufti Wilayah Persekutuan.