Ramai ahli psikologi moden yang percaya bahawa terdapat 5 sifat personaliti asas yang biasanya dikenali sebagai “Big 5 personality traits” atau “5 Sifat Utama Personaliti”.
5 sifat utama personaliti atau trait personaliti tersebut adalah:
- Ekstraversi
- Keterbukaan
- Kebersetujuan
- Keberhemahan
- Neurotisisme
Memahami akan setiap sifat keperibadian atau trait personaliti ini boleh memberikan gambaran kepada anda akan personaliti anda sendiri.
Selain itu, ia turut boleh membantu anda memahami orang lain berdasarkan ciri-ciri atau sifat keperibadian mereka.
Sejarah atau Asal Usul
Teori 5 sifat utama personaliti muncul apabila teori-teori personaliti sebelum itu adalah sukar dan terhad. Teori 16 personaliti oleh Raymond Cattell didapati terlalu rumit manakala teori 3 faktor oleh Hans Eysenck pula didapati terhad dari segi skopnya.
5 sifat utama personaliti ini digunakan untuk menerangkan ciri-ciri atau sifat yang luas yang bertindak sebagai blok pembinaan personaliti.
5 Sifat Utama Personaliti
Harus diketahui juga bahawa setiap sifat personaliti ini mewakili julat antara 2 ekstrem. Sebagai contoh, ekstraversi mewakili satu struktur antara ekstraversi ekstrem dan introversi ekstrem.
Pada realitinya, kebanyakan orang di dunia ini terletak di antara kedua-dua ekstrem tersebut.
1. Ekstraversi
Ekstraversi (extraversion) atau ekstroversi ialah satu trait personaliti yang merangkumi beberapa ciri yang lebih khusus seperti pergaulan, ketegasan, tahap aktiviti yang tinggi, emosi positif, dan impulsif.
Mereka yang tinggi dengan sifat ekstraversi ini adalah bersikap mesra dan cenderung mendapat tenaga dalam situasi sosial. Berada di sekeliling orang lain membantu mereka berasa bertenaga dan teruja.
Manakala, mereka yang rendah dengan sifat ekstraversi atau turut dikenali dengan istilah introvert adalah lebih cenderung menyendiri dan tidak banyak cakap. Mereka mungkin berasa penat apabila menghadiri majlis sosial dan tidak suka menjadi perhatian umum.
Introvert selalunya memerlukan tempoh menyendiri dan tenang untuk “segarkan” diri mereka.
2. Keterbukaan
Keterbukaan (openness) ialah trait personaliti dicirikan dengan ciri-ciri seperti imaginasi dan wawasan.
Mereka yang tinggi dengan keterbukaan cenderung untuk mempunyai minat yang luas. Mereka berasa ingin tahu tentang dunia dan orang lain.
Mereka juga mempunyai sifat yang tidak sabar-sabar untuk mempelajari perkara baharu dan menikmati pengalaman baharu. Golongan ini selalunya lebih kreatif dan menyukai cabaran.
Manakala, mereka yang rendah dengan trait personaliti ini pula lebih bersifat konservatif dan mungkin mempunyai kesukaran berkenaan pemikiran abstrak (teori).
3. Kebersetujuan
Kebersetujuan (agreeableness) ialah trait personaliti yang melibatkan kepercayaan, kebaikan, kasih sayang dan lain-lain.
Mereka yang tinggi dengan trait personaliti ini akan menunjukkan sikap suka berkawan dan bersosial, mudah bertegur sapa, bekerjasama, saling mempercayai, mesra, baik hati, tidak suka membantah, suka membantu dan banyak lagi.
Manakala, mereka yang rendah dengan trait personaliti ini cenderung untuk mempunyai sikap yang tidak mesra, tidak mengambil berat berkenaan orang lain, memanipulasi orang lain untuk kepentingan diri, menghina dan merendahkan orang lain serta lain-lain lagi.
4. Keberhemahan
Keberhemahan (conscientiousness) ialah trait personaliti yang melibatkan tahap pemikiran yang tinggi, kawalan impuls yang baik, dan tingkah laku bermatlamat.
Seseorang yang tinggi dengan keberhemahan akan menunjukkan sikap yang berhati-hati, teliti, teratur, cermat, boleh dipercayai, sentiasa bersedia dan bertanggungjawab.
Manakala, bagi mereka yang rendah dengan keberhemahan ini pula akan menunjukkan sikap yang tidak teratur, tidak bertanggungjawab, tidak terurus, berlengah-lengah dalam menyelesaikan sesuatu dan kadangkala terlepas tarikh akhir (deadline) sepenuhnya.
5. Neurotisisme
Neurotisisme (neuroticism) ialah trait personaliti yang bercirikan kepada ciri-ciri seperti kesedihan, ketidakstabilan emosi dan angin (angin tidak baik).
Individu yang tinggi dengan trait personaliti ini akan menunjukkan sikap yang mudah untuk marah, bimbang tentang pelbagai perkara, berasa tekanan (stres), angin yang sering berubah-ubah (mood swing) dan sukar untuk pulih selepas peristiwa yang banyak tekanan.
Manakala, mereka yang rendah dengan trait personaliti ini akan menunjukkan sikap yang lebih stabil dari segi emosi, boleh menguruskan tekanan (stres), jarang-jarang berasa sedih atau tertekan dan lebih santai.
Faktor yang Mempengaruhi Sifat Personaliti
Kajian menunjukkan bahawa faktor biologi dan persekitaran memainkan peranan dalam mempengaruhi atau membentuk personaliti seseorang.
Kajian kembar mendedahkan bahawa asuhan dan persekitaran memainkan peranan dalam pembentukan setiap satu daripada kelima-lima trait personaliti.
Kajian ini juga turut melaporkan bahawa kebolehwarisan setiap sifat atau ciri personaliti adalah sebanyak 53% bagi ekstraversi, 61% bagi keterbukaan, 41% bagi kebersetujuan, 44% bagi keberhemahan, dan 41% bagi neurotisisme.
Ringkasan
Sifat personaliti ialah corak pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang mencerminkan kecenderungan untuk bertindak balas dalam cara tertentu dalam keadaan tertentu.
Teori 5 sifat utama personaliti ini adalah satu panduan asas dalam menggambarkan keperibadian seseorang. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa personaliti juga adalah kompleks dan pelbagai. Maka, seseorang mungkin memaparkan tingkah laku merentasi beberapa sifat personaliti ini.
Rujukan
- Cherry, K. (2022). What Are the Big 5 Personality Traits? verywellmind
- Jang, K. L. et al. (1996). Heritability of the big five personality dimensions and their facets: a twin study. Journal of personality.